SAMBUNG BAYAR KERETA? BOLEH KE?





Budaya "kereta sambung bayar" telah menjadi kebiasaan di Malaysia. Budaya ini boleh berlaku dari beberapa sebab seperti kesukaran memperolehi pinjaman kenderaan, atau mampu tetapi enggan kerana proses yang rumit, tidak mampu menyediakan wang pokok untuk membeli kereta, atau atas dasar percaya dengan rakan.

Hakikatnya, budaya kereta sambung bayar ini lebih mendatangkan ancaman kepada pengguna berbanding daripada kebaikan. Malahan budaya ini adalah bertentangan dengan undang-undang. 

Seksyen 36A, Akta Sewa Beli 1967 (Akta 212) memperuntukkan bahawa "Mana-mana pemunya, peniaga, ejen atau orang yang bertindak bagi pihak pemilik yang mengumpul apa-apa bayaran berkenaan dengan perjanjian sewa-beli selain daripada bayaran yang disenaraikan dalam Jadual Kedua atau bayaran yang dibenarkan di bawah Akta ini adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini."

Kebanyakan pengguna mungkin memandang ringan impak yang akan dihadapi oleh pengguna yang menyerahkan kenderaan mereka kepada orang lain untuk disambung bayar, seperti kegagalan menjelaskan ansuran bulanan kenderaan kepada pihak bank sehingga boleh menyebabkan pengguna jatuh bankrap, harta benda dilelong dan sebagainya.

Walaupun anda telah memberikan kereta anda disambung bayar oleh orang lain, anda tetap berisiko kerana:

1. Tiada pindah milik sempurna dilakukan di JPJ;

2. Oleh kerana tiada pindahmilik sempurna, di atas rekod, anda masih berhutang dengan bank dan hutang tersebut masih perlu dibayar setiap bulan;

3. Jika penyambung bayar tidak membayar hutang tersebut, anda berisiko diburu oleh pihak bank dan mungkin akan dibankrapkan. Bank tidak akan mencari penyambung bayar kereta anda tapi bank akan mencari anda.

4. Maka anda perlu pastikan bahawa urusan pindahmilik di JPJ disempurnakan. Jika tidak anda menanggung risiko yang besar berbanding penyambung bayar itu tadi.

5. Anda mungkin boleh memasuki perjanjian dengan penyambung bayar tetapi anda harus ingat bahawa anda masih peminjam dan privy kepada kontrak dengan pihak bank. Jadi tanggungjawab anda tidak terlepas di situ walaupun telah memberikan kereta anda kepada penyambung bayar.

6. Jika boleh, elakkan budaya sambung bayar kereta dan pergilah ke kedai kereta untuk membuat urusan jual beli kereta secara sah. Jika anda terpaksa melakukannya sekalipun, berikan kepada orang yang anda benar-benar percaya sahaja.



SAMBUNG BAYAR KERETA? BOLEH KE? SAMBUNG BAYAR KERETA? BOLEH KE? Reviewed by SaiDin.S on October 04, 2017 Rating: 5
ads
Powered by Blogger.