TUNTUT HUTANG TANPA PEGUAM
Bagi yang belum tahu nak tuntut wang dari penghutang tanpa peguam, ikuti perkongsian dari Liyana
ini. Tapi hanya boleh menuntut bawah RM5,000 sahaja tau.
DIY CARA METUNTUT HUTANG DI BAWAH RM5000 DI SMALL CLAIMS COURT TANPA PEGUAM
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Pada kali ini saya ingin share kepada anda sekalian pertanyaan yang diajukan kepada saya oleh seorang hamba Allah. Persoalannya adalah beliau ingin menuntut kembali hutang dari kawannya yang telah meminjamkan sejumlah wang sebanyak RM3000.
Berbaloikah tuntutan ini dibawa ke mahkamah dan untuk hire seorang lawyer? As a legal practitioner/rakyat jelata biasa yang hidup dalam ekonomi Malaysia, jawapan jujur saya untuk amaun yang sedemikian adalah TIDAK.
NAMUN, tahukah anda di Malaysia terdapat suatu prosedur yang dinamakan Small Claims Court atau Tuntutan Kecil?
APAKAH SMALL CLAIMS COURT/MAHKAMAH TUNTUTAN KECIL?
1. Diwujudkan untuk mendapatkan tuntutan di bawah RM5,000.00.
2. Mempercepatkan proses/prosedur untuk menuntut kembali wang/barangan/bayaran dan/atau apa-apa hutang termasuk pelanggaran kontrak;
3. Meringankan beban mahkamah dalam menyelesaikan tuntutan-tuntutan;
4. Mengurangkan kos dalam melantik peguam;
Antara prasyarat yang perlu dipatuhi sebelum memfailkan tuntutan tersebut adalah seperti berikut:
1. Tuntutan hendaklah tidak melebihi RM 5,000.00;
2. Kehadiran wakil undang-undang ("legal representative") dan/atau peguam tidak diperlukan didalam tuntutan ini;
3. tuntutan hanya boleh dibuat oleh individu dan/atau warga rakyat Malaysia; dan
4. tuntutan tersebut boleh difailkan terhadap mana-mana individu dan syarikat namun tuntutan hanya boleh dibuat oleh individu dan/atau warga rakyat Malaysia*. Nota:*Syarikat tidak dibenarkan untuk memfailkan tuntutan kepada Mahkamah Tuntutan Kecil.
APAKAH PERKARA-PERKARA YANG BOLEH DITUNTUT?
1. Mendapatkan kembali hutang.
2. Tuntutan barangan.
3. Upah sesuatu perkhidmatan yang tak dibayar.
4. Sewa menyewa.
5. Tuntutan atas barangan yang rosak.
6. Tuntutan persembahan yang tidak dilaksanakan.
DI MANA TUNTUTAN PERLU DIBUAT DAN BAGAIMANA HENDAK MEMULAKAN SAMAN?
1) Secara umum, Aturan 93, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, berkaitan Tatacara Tuntutan Kecil adalah undang-undang yang mengariskan tatacara proses tuntutan kecil.
2) Tuntutan (saman) ini boleh dibuat di mana-mana Mahkamah Majistret yang berhampiran. Pejabat Pendaftaran Mahkamah Majistret dibuka pada waktu pejabat.
3) Bagi memulakan saman, plaintif dikehendaki mengisi Borang 198 yang telah disediakan di Mahkamah dalam [4] salinan dan menyatakan amaun dan butir-butir tuntutannya. Butir-butir itu mestilah menyatakan tarikh relevan dan bagaimana tuntutan itu telah berbangkit dan apakah asas tuntutan itu.Tandatangan di borang tersebut atau cap jari. Borang 198 tersebut boleh didapati secara percuma.
4) Setelah menyiapkan borang, plaintif mestilah memfailkan borang dalam 4 salinan tersebut di Pejabat Pendaftaran bagi Mahkamah Majistret Kelas Dua. Plaintif mestilah membayar bayaran pemfailan sebanyak RM20.00. Pejabat Pendaftaran akan meletakkan meterai Mahkamah ke atas 4 salinan borang itu dan mengisikan tarikh pendengaran.
5) Seterusnya, plaintif perlu membuat penyampaian Borang 198 yang telah dimetrai tersebut melalui penyampaian secara kediri atau melalui pos berdaftar pra bayar yang dialamatkan kepada alamat terakhir defendan yang diketahui.
6) Seeloknya Plaintif perlulah menyertakan satu salinan surat ("cover letter") untuk diserahkan kepada Defendan bersama-sama dengan borang tersebut. Plaintif hendaklah mendapatkan tandatangan dan/atau cop defendan serta tarikh penyampaian tersebut dibuat. Hal ini akan membantu Plaintif dalam membuktikan penyerahan telah dibuat secara kediri dengan berjaya sekiranya Defendan akan menyangkal penyerahan/penyampaian ("denied service") yang telah dibuat itu.
7) Sekiranya defendan yang telah disampaikan secara sempurnanya dengan Borang 198 mempertikaikan tuntutan, defendan bolehlah menyampaikan pembelaannya dalam Borang 199 yang difailkan dalam empat salinan dalam empat belas hari selepas penyampaian tuntutan itu.
KEHADIRAN KE MAHKAMAH PADA TARIKH YANG DITETAPKAN
1) Apabila peringkat di atas telah selesai plaintif/defendan dikehendaki hadir ke Mahkamah pada tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah.
2) Majistret adalah pihak yang akan membicarakan kes plaintif/defendan. Majistret akan memastikan bahawa pihak-pihak mengemukakan bukti-bukti bagi menyokong kes masing-masing mengikut peruntukan undang-undang. Pihak-pihak perlu membawa semua saksi, buku-buku dan lain-lain yang menyokong tuntutan masing-masing. Pihak-pihak yang terlibat akan dibantu oleh Majistret di dalam perbicaraan.
3) Seperti perbicaraan biasa, pihak plaintif, harus membuktikan kes terhadap defendan. Dalam senario di atas, bawalah segala dokumen yang berkenaan untuk menunjukkan bahawa anda telah meminjamkan wang tersebut kepada anda.
4) Jika tidak ada dokumen, keterangan lisan juga boleh diterima. Apa perbualan, apa yang dipersetujui, bila pinjaman dibuat dan sudah berapa lama ia tidak dibayar semula. Selepas selesai keterangan plaintif, defendan pula memberi keterangan. Akhirnya, setelah meneliti keterangan kedua-dua pihak, majistret akan memberi keputusannya.
WHAT HAPPENS JIKA ORANG YANG BERHUTANG TU BUAT TAK TAHU JE SELEPAS PENGHAKIMAN?
Okay, saya faham ramai orang gusar dengan situasi begini . Tapi jangan khuatir! sebenarnya setelah penghakiman diperoleh, dan Defendan masih bersifat degil dan keras kepala, anda hanya perlu kembali ke Mahkamah Majistret tersebut dan fail kes anda, menggunakan borang 208 yang boleh juga didapati secara percuma.
Sampaikan Borang 208 ini seperti anda menyampaikan Borang 198.
Defendan perlu hadir di Mahkamah pada tarikh yang ditetapkan untuk menunjukkan sebab, melainkan jika dia menyelesaikan hutang itu dalam tempoh 10 hari dari penerimaan notis.
Di Mahkamah, Mahkamah Majistret mempunyai 3 pilihan untuk berurusan dengan defendan. Mahkamah boleh:
1. memberi defendan lebih banyak masa untuk menjelaskan penghakiman itu atau membolehkan bayaran ansuran;
2. memerintahkan writ penyitaan dan penjualan. Ini bermakna bailiff yang akan menilai barangan defendan, menyitanya dan lelong. Hasil lelongan kemudiannya boleh digunakan untuk menampung hutang; atau
3. perintah defendan untuk dipenjarakan. Jika defendan tidak hadir di Mahkamah yang diarahkan, waran tangkap akan dikeluarkan oleh seorang Majistret.
Ha, jika anda sedang mengalami situasi di mana ada orang berhutang dengan anda tidak melebihi rm5000,00 tunggu apa lagi, boleh cuba praktikkan apa yang telah saya share di sini. Mungkin selepas ini anda akan faham bagaimana dasyatnya kerjaya sebagai seorang peguam setelah anda cuba kendalikan kes anda sendiri.
Good luck.
TUNTUT HUTANG TANPA PEGUAM
Reviewed by SaiDin.S
on
October 08, 2017
Rating: