Tips Pemasaran Rasulullah Untuk Usahawan Online & Offline
Konsep Pemasaran 4P telah digunakan oleh nabi s.a.w. dalam sepanjang aktiviti perniagaan baginda sebagai pedoman buat seluruh ummatnya agar tidak mudah tergelincir dan sentiasa dalam rahmat Allah s.w.t. Selain mencegah perbuatan yang dilarang oleh Allah, gaya pemasaran yang Rasulullah s.a.w. amalkan ini mampu menjadikan kita seorang usahawan yang benar-benar cemerlang serta memberi manafaat kepada seluruh penghuni alam.
1- Produk (Produk)
Rasulullah S.A.W memasarkan barang dagangan atau produk yang menepati citarasa pengguna di kalangan masyarakat. Baginda turut mengutamakan kualiti produk sepertimana firman Allah yang bermaksud : “Wahai manusia! Makanlah apa yang baik & dihalalkan di dunia dan janganlah kamu mengikuti langkah syaitan” (Al-Baqarah: 168)
2- Promosi (Promotion)
Promosi adalah aspek penting dalam sesebuah perniagaan. Tanpa promosi yang betul akan mengundang kegagalan yang memeritkan. Walau Rasulullah s.a.w. menyedari betapa pentingnya promosi dalam melakukan perniagaan, baginda tidak pernah melebihkan produk dengan maksud ingin memikat pembeli.
Promosi merupakan komunikasi dua hala yang penting antara penjual dan pembeli. Baginda tegas mengatakan bahawa seorang peniaga yang baik perlu bersungguh-sungguh berusaha untuk menjauhi diri daripada sumpah atau janji yang berlebihan dan melampaui batas. Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sumpah atau janji yang diucapkan untuk melariskan perniagaan dapat merosakkan keuntungan” (Direkodkan oleh Muslim)
Seterusnya dalam satu hadith baginda bersabda : ” Yang dinamakan jualan palsu adalah usaha utk melariskan barang dagangannya, lagi berusaha dengan cara yang tercela” (Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)
3- Penetapan Harga (Pricing)
Harga sesuatu barang dagangan atau jualan amatlah penting. Dalam proses penetapan harga, Rasulullah s.a.w. mengamalkan konsep tertentu yang dapat difahami dalam hadith di bawah daripada Abdullah bin Umar : “Janganlah kamu menyaingi (secara tidak sihat) penjualan saudaramu sendiri”
(Direkodkan oleh Bukhari & Muslim)
Jika diteliti dalam hadith di atas, persaingan yang tidak sihat seperti perang harga yang melampau adalah dilarang. Namun baginda amat mengesyorkan persaingan yang sihat dengan menekankan pada kualiti produk dan memberi nilai hebat kepada pelangan dari produk yang dipasarkan.
4- Pemilihan Lokasi (Place)
Semua peniaga telah maklum tentang betapa pentingnya lokasi atau pemilihan tempat dalam perniagaan. Pada zaman Rasulullah s.a.w. iaitu lebih 1400 tahun dahulu, faktor pemilihan tempat amatlah ditekankan oleh baginda. Pasar-pasar di sekitar Makkah menjadi tumpuan baginda kerana di situlah pedagang-pedagang luar berkumpul dan mengedarkan barangan yang dibawa.
Baginda telah berusaha menempatkan dirinya di kalangan peniaga di sekitar Makkah terutamanya di pasar-pasar besar yang menjadi tumpuan sejak dari kecil lagi. Di sanalah juga Rasulullah s.a.w. menjalinkan jaringan sebanyak mungkin dengan para pedagang tempatan dan luar Makkah. Di samping itu baginda mementingkan hubungan yang baik dengan semua pelangannya.
Baginda telah melarang beberapa strategi yang tidak adil contohnya strategi yang boleh membebankan petani-petani di kampung dan juga bakal pelangan. Ini dapat difahami dengan lebih jelas dalam hadith baginda s.a.w. daripada Jabir : ” Tidaklah dibolehkan penduduk kota menjadi perantara niaga bagi orang di desa. Biarkanlah orang memperoleh rezeki Allah satu daripada yang lain.” (Direkodkan oleh Muslim).
Dapat difahami secara umumnya, semua strategi yang mengundang kepada ketidakadilan & kezaliman kepada mana-mana pihak adalah dilarang menurut Rasulullah s.a.w. dan wajib dielakkan diamal oleh para peniaga. Etika dan amanah serta jujur dalam berniaga amat penting demi mendapatkan rezeki yang halalan toyyiban!
Tips Pemasaran Kaedah Rasulullah di atas amatlah sesuai dilaksanakan dalam perniagaan online juga perniagaan konvensional atau offline. Gunakan kreativiti masing-masing dalam memproses maklumat di atas untuk di praktikkan dalam urusan perniagaan. Wallaahu’alam.
Sumber Asal
Tips Pemasaran Rasulullah Untuk Usahawan Online & Offline
Reviewed by SaiDin.S
on
April 02, 2013
Rating: